Pertama kali menyertai konvoi Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan MAIWP 2019 telah meninggalkan satu pengalaman yang cukup manis.





Apatah lagi, di lokasi terakhirnya di Pusat Komuniti Eco-Park, Lembah Pantai, Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddi Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di kawasan tersebut.

Acara seumpama ini merupakan salah satu inisiatif MAIWP dalam memperhebat hebahan usaha mereka dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan terutama menerusi program agihan zakat.



Konvoi Bermula…
Kalau korang nak tahu, seawal jam 8.00 pagi, sis dan kengkawan sudah berada di Taman Metropolitan Batu, Sentul. Di sini kami menyaksikan hampir 100 motorsikal berkuasa tinggi dan 10 teksi dari kalangan penerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi untuk berkonvoi lebih 30 kilometer.




Acara bermula dengan pelepasan konvoi tersebut oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.Masing-masing jelas terpancar semangat untuk menyantuni golongan asnaf ini. Sis dan kengkawan pun turut terasa bahangnya.



Destinasi kedua…
Dari Taman Metropolitan Batu, konvoi Kembara Rahmat Zakat meneruskan destinasi keduanya di Masjid Al-Mukhlisin Taman Alam Damai, Cheras.Teksi konvoi yang Sis naiki tu alhamdulillah, melaju jer sampai.




Setibanya di sana, konvoi Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan MAIWP 2019 telah disambut oleh Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.Selain YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pun ada sama untuk meraikan hari yang penuh makna itu.


Pada hari yang penuh makna itu juga telah berlangsung majlis penyerahan sumbangan berbentuk mock cheque iaitu bantuan Peralatan Kesihatan dan Perubatan berjumlah 23.35 juta ringgit serta Bantuan Perniagaan, 3.13 juta ringgit kepada 200 asnaf yang hadir oleh Datuk Seri Dr Mujahid.
Beliau turut merasmikan Dewan Al-Mukhlisin yang baru siap dibina bagi kegunaan aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.


Destinasi Ketiga & Terakhir…
Selesai majlis tersebut, sis dan kengkawan yang menyertai konvoi Kembara Rahmah Zakat meneruskan perjalanan ke destinasi ketiga dan terakhir di pusat Komuniti Eco-Park, Lembah Pantai.


Setiba di sana, sis dapat merasakan aura keceriaan di wajah insan-insan yang hadir. Masing-masing seakan sudah tidak sabar lagi untuk menyambut kedatangan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddi Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi mengurniakan sumbangan zakat dan barangan keperluan kepada golongan asnaf di sekitar kawasan Lembah Pantai.



Al-Sultan Abdullah telah menyampaikan sumbangan bantuan terdiri daripada pakaian persekolahan kepada anak-anak asnaf bernilai RM5.1 juta, Bantuan Am Persekolahan sejumlah RM9.82 juta serta Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebanyak RM12.45 juta.


Sebelum berangkat pulang Al-Sultan Abdullah, mesra dan berjiwa rakyat tang amat disayangi oleh rakyat jelata turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan golongan asnaf yang hadir ke program tersebut.

Dapat bergambar dengan kereta yang membawa Yang Dipertuan Agong pun jadilah....
Sis sendiri berasa teruja kerana dapat bertemu dengan Yang Dipertuan Agong dan amat berterima kasih kepada MAIWP kerana memberikan kesempatan untuk menghadiri majlis Kembara Rahmah Zakat yang cukup bermakna ini.

Zakat Dibayar, Nasib Asnaf Terbela!
Mudah-mudah program sebegini dapat diteruskan lagi bagi membela nasib golongan asnaf. Semoga zakat yang ditunaikan oleh para pembayar zakat akan memberikan sinar baru serta kebahagiaan buat golongan asnaf ini. Tahniah buat MAIWP di atas penganjuran program yang penuh bermanfaat ini.


Insya-Allah, kalau ada rezeki, sis memang nak join lagi program sebegini.Seronok!!

Lurve,
Sis Anie Mohamed