Whoa! Ada sesuatu yang cukup menarik bakal berlangsung di bulan Oktober nanti. Nampaknya Selangor akan menjadi “tuan rumah’ kepada sebuah acara yang cukup gemilang!
Baru-baru ini Invest Selangor dengan bangganya telah mengumumkan penganjuran acara perniagaan terbesar menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang akan berlangsung selama 4 hari, pada 14 hingga 17 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
SIBS 2020 ini meliputi empat acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Persidangan Perniagaan Selangor – ASEAN(SABC) serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (SRIE).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim, SIBS yang telah melewati edisi keempat ini akan membabitkan lebih 850 pempamer tempatan dan juga antarabangsa serta menjangkakan bakal menerima 40,000 pengunjung.
“SIBS merupakan inisiatif strategi dagangan dan globalisasi utama dalam meletakkan Selangor sebagai pasaran terulung buat usahawan dan juga para pelabur yang berhasrat untuk melebarkan sayap perniagaan ke rantau Asia Tenggara. Secara tak langsung, ia akan menjadikan Selangor sebagai laluan dagangan ke negara-negara ASEAN,” jelas beliau lagi.
Apa yang menariknya pada hari pelancaran SIBS 2020, turut diadakan juga pelancaran International Muslim Friendly Affiliated Network (IMFAN), yang mana turut dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Invest Selangor iaitu DatukHassan Azhari Idris.
Halal International Selangor telah menjalinkan kerjasama dengan HIJRAH Selangor, IMFAN sebagai insiatif kepada para usahawan makro untuk menerapkan pengeluaran makanan halal dalam perniagaan mereka.
Kalau korang nak tahu, IMFAN adalah program penafaran berperingkat dengan kemudahan berstruktur bagi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) mendapatkan status halal pada permulaan perniagaan mereka.
Menurut Datuk Teng Chang Khim lagi, Selangor akan menjadi peneraju dalam pelaksanaan program rintis sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain. Beliau juga memberitahu, menyasarkan 2,000 syarikat makro dijangka terlibat sama dalam IMFAN sepanjang tahun 2020 ini.
Sesuatu yang cukup bagus, andaikata IMFAN ini berjaya melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa, dah tentulah ia akan mewujudkan peluang kepada usahawan-usahawan IKS melangkah ke dagangan antarabangsa pula. Secara tak langsung dapat menyumbang secara produktif kepada sektor pembangunan negara.
Gembira jadi orang Selangor. Semoga lebih ramai usahawan Selangor maju di peringkat antarabangsa! |
Lurve,
Sis Anie Mohamed
0 Comments