Sempena Kempen Wear It Pink anjuran Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) menerusi inisiatif tahunan kanser payudaranya baru-baru ini telah menyumbang RM60,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia.

Sejak dilancarkan pada tahun 2006, kempen tersebut telah memainkan peranan besar dengan menyokong pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran umum serta mengumpul dana untuk kanser payudara termasuklah Pink October Walk, Sidang Kesihatan, Program Kebajikan Minum Petang dan lain-lain. 

Usaha Mengawal Sel Kanser 

“Pada masa sekarang dengan penularan wabak COVID-19, kita perlu memberi perhatian yang lebih kepada pejuang kanser kita. Pesakit kanser mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah berikutan rawatan yang diterima dalam usaha untuk mengawal sel kanser tersebut. Kami perlu memastikan pesakit kanser tersebut masih boleh datang ke Pusat Penjagaan Payudara untuk mendapatkan rawatan dan bantuan,” kata Erica Lam, Ketua Pegawai Eksekutif, PHKL.

“Sumbangan ini boleh memberikan impak positif dalam kehidupan pejuang kanser tersebut dan kami di PHKL berikrar terus memainkan peranan aktif untuk membantu mereka sebaik mungkin”. 


Pantai Hospital Kuala Lumpur
Dr. Saladina Jaszle Jasmin, Perunding Pembedahan Payudara dan Endokrin, PHKL


Pejuang Kanser 

Bagi Edisi 2020 Kempen Wear It Pink, PHKL telah menjual lebih daripada 1,500 kotak pelitup muka edisi khas berwarna merah jambu untuk mengumpul sumbangan.

“Kami mahu selepas pejuang kanser ini menjalani pembedahan payudara, mereka masih berasa kembali pada sedia kala. Seolah-olah tiada apa-apa yang berubah pada tubuh mereka seperti sebelum dibedah.
Kami berharap baju dalam khas dan payudara tiruan ini dapat membantu proses pemulihan mereka.

Kami amat berterima kasih kepada PHKL dan orang awam yang banyak menyumbang untuk tujuan ini,”kata Dr. Saladina Jaszle Jasmin, Perunding Pembedahan Payudara dan Endokrin, PHKL yang juga merupakan pengerusi kempen kanser payudara di hospital tersebut tahun ini.


TNBC Metastatik, Jenis Kanser Paling Agresif 
Bercerita lebih lanjut tentang kanser payudara, Lam mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelidikan klinikal PHKL yang diketuai oleh Dr. Mastura Md. Yusof atas kejayaan mereka menjalankan ujian imunoterapi ke atas Kanser Payudara Negatif Ganda Tiga (Triple Negative Breast Cancer atau TNBC). TNBC metastatik adalah jenis kanser paling agresif yang mengakibatkan kadar kematian tinggi dalam kalangan pesakit muda.

Pasukan penyelidikan Dr. Mastua merupakan antara pasukan dari 29 buah negara yang menilai keberkesanan dan keselamatan ubat imunoterapi yang dipanggil pembrolizumab.

Ubat ini digabungkan dengan salah satu daripada tiga jenis kemoterapi lazim yang digunakan untuk merawat TNBC berulang, tidak boleh dibedah atau metastatik yang tidak dapat disembuhkan menggunakan kemoterapi dalam suasana metastatik.


Manuskrip lengkap yang memperincikan keputusan positif daripada penyelidikan KEYNOTE-355 tersebut akan diterbitkan dalam jurnal Lancet, iaitu salah satu daripada jurnal perubatan yang terkemuka tidak lama lagi.



Sepanjang bulan Oktober Merah Jambu, PHKL akan diterangi lampu berwarna merah jambu yang boleh dilihat dari luar premis untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan ujian saringan kesihatan payudara untuk pengesanan awal.

Pakej istimewa ultra bunyi dan mamogram juga ditawarkan hingga bulan Disember 2020. Jadi, jangan lupa untuk memanfaatkan kesempatan terbaik ini di Pantai Hospital Kuala Lumpur.