Kedai Kopi Tasik Shah Alam, makan santai sambil menikmati pemandangan yang mendamaikan.
Kadang-kadang, tempat makan yang paling kita hargai bukanlah yang paling viral atau penuh ulasan di media sosial. Sebaliknya, ia adalah tempat yang menyimpan kenangan, menghadirkan rasa tenang dan membuatkan kita rasa selesa setiap kali melangkah masuk.

Bagi sis, Kedai Kopi Tasik Shah Alam adalah salah satu tempat yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Dulu-dulu, zaman muda, tempat inilah kami lepak bersama kawan-kawan. Makan dengan tenang, borak tanpa had masa, kemudian sambung berjalan-jalan dan bersiar-siar di sekitar Taman Tasik Shah Alam


Hidangan nasi goreng kampung, nasi goreng cili padi, kuey teow Shah Alam, dan air buah tembikai segar, sesuai untuk makan santai bersama keluarga di Kedai Kopi Tasik Shah Alam



Suasananya sederhana, tapi cukup untuk buat hati rasa lapang dan damai. Hingga hari ini, perasaan itu masih sama setiap kali melangkah ke kawasan ini.

Kini, Kedai Kopi Tasik Shah Alam kekal menjadi pilihan untuk makan santai bersama keluarga. Tempat ini sesuai untuk mereka yang tidak mahu suasana terlalu sesak atau tergesa-gesa, sebaliknya mencari pengalaman makan yang lebih relaks dan selesa.



Kedai Kopi Tasik Shah Alam, tempat makan santai dengan pemandangan tasik dan suasana mesra keluarga

Lokasi Strategik & Suasana Yang Menenangkan

Terletak berhampiran Taman Tasik Shah Alam, Kedai Kopi ini menawarkan kelebihan yang tidak dimiliki oleh semua restoran, pemandangan tasik yang mendamaikan. Selepas makan, pengunjung boleh terus berjalan-jalan di taman, menikmati kehijauan alam dan udara segar.

Pada waktu petang dan malam, suasana di sekitar tasik menjadi lebih indah apabila lampu-lampu dinyalakan. Pantulan cahaya di permukaan air menambahkan rasa tenang, menjadikan pengalaman makan di sini lebih bermakna. Tidak hairanlah jika kedai ini sering menjadi tempat lepak orang ramai, sama ada bersama keluarga, rakan-rakan atau pasangan.


Kuey Teow Shah Alam berkuah ala mee Hailam sesuai untuk makan santai di Kedai Kopi Tasik Shah Alam

Cara Pesanan Yang Unik & Nostalgik


Satu perkara yang menarik tentang Kedai Kopi Tasik Shah Alam ialah cara pelanggan membuat pesanan. Di sini, konsepnya masih mengekalkan gaya lama.

Pelanggan perlu mengambil pensel dan kertas yang disediakan, menulis nombor menu seperti yang tertera di buku menu serta nombor meja sebelum menyerahkan pesanan.

Walaupun kelihatan ringkas, cara ini sebenarnya memberikan sentuhan nostalgia dan membuatkan suasana makan terasa lebih santai. Seolah-olah kembali ke zaman kedai kopi lama yang tidak terlalu bergantung pada teknologi.



Pilihan Menu - Gabungan Kampung & Western


Dari segi pilihan makanan, Kedai Kopi Tasik Shah Alam menawarkan menu yang pelbagai dengan gabungan menu kampung dan western, sesuai untuk pelbagai peringkat umur dan selera.

Pada kunjungan kali ini, kami memilih menu yang ringkas dan dekat di hati:

Nasi Goreng Kampung

Nasi Goreng Cili Padi

Kuey Teow Shah Alam

Air buah tembikai

Nasi goreng kampung dan nasi goreng cili padi sesuai untuk mereka yang sukakan menu klasik dengan sedikit rasa pedas. Kuey Teow Shah Alam pula menjadi pelengkap. Manakala air buah tembikai yang segar membantu menghilangkan dahaga sambil menikmati suasana tasik.

Bagi penggemar menu western, Kedai Kopi ini turut menyediakan pilihan yang boleh dipertimbangkan seperti:

Grilled Lamb Chop

Spaghetti Bolognese

Menu western ini sesuai untuk mereka yang mahu variasi dalam satu meja, terutamanya jika datang bersama keluarga atau rakan-rakan yang mempunyai selera berbeza.


Harga & Nilai Keseluruhan

Dari segi harga, bagi saya ia berada pada tahap sederhana dan boleh diterima. Bukan terlalu murah, tetapi setimpal dengan lokasi, suasana dan pengalaman makan yang ditawarkan.
Bak kata orang… kalau poket berisi, bolehlah 😄




Kedai Kopi Tasik Shah Alam – Tempat Makan Santai & Pemandangan Tasik


Apa yang lebih penting, pengalaman makan di sini terasa santai. Tiada tekanan untuk cepat habis makan dan tiada rasa perlu bergegas meninggalkan meja. Ia sesuai untuk mereka yang ingin benar-benar menikmati masa bersama orang tersayang.


Waktu Perniagaan Kedai Kopi Tasik Shah Alam

Bagi yang ingin merancang kunjungan, berikut adalah waktu perniagaan terkini:

Selasa hingga Khamis: 12:00 tengah hari – 6:40 petang

Jumaat hingga Ahad: 12:00 tengah hari – 9:30 malam

Isnin: Tutup

Ada Peminat Tersendiri

Waktu malam, terutamanya hujung minggu, sering menjadi pilihan kerana suasananya lebih hidup dengan pencahayaan di sekitar tasik yang menambahkan keindahan persekitaran.

Walaupun selera setiap orang berbeza, kedai ini tetap mempunyai peminatnya tersendiri dan sering dikunjungi oleh orang ramai.

Secara keseluruhan, Kedai Kopi Tasik Shah Alam bukan sekadar tempat makan. Ia adalah ruang untuk berehat, mengimbau kenangan lama dan menikmati detik-detik sederhana yang menenangkan jiwa.

Bagi sis, tempat seperti inilah yang wajar dihargai, tidak terlalu gah, tetapi cukup bermakna!