Apam Johol merupakan antara kuih tradisional Negeri Sembilan yang mempunyai keunikan tersendiri. Kelmarin ketika sis keluar lunch bersama kawan-kawan di Restoran Ghaso Pilah, ada satu kuih yang berjaya mencuri perhatian. Namanya Apam Johol.

Sebenarnya, inilah kali pertama sis tengok dan merasa kuih tradisional ini. Kalau sebelum ini sekadar pernah dengar namanya, kali ini dapatlah sis tengok sendiri rupa dan merasai bagaimana rasanya.

Menariknya, perkara pertama yang bermain dalam fikiran sis bukanlah tentang rasa kuih tersebut, tetapi daun yang membalutnya. Hahaha!


Apam Johol kuih tradisional Negeri Sembilan yang dibalut menggunakan daun rambai
Apam Johol, kuih tradisional Nogori yang unik dengan pembalut daun rambai

Pertama Kali Tengok Apam Johol, Ingat Daun Getah!

Ketika kawan sis menghulurkan kuih ini, perkara pertama yang menarik perhatian ialah pembalutnya. Apam ini dibungkus menggunakan daun yang kelihatan agak tebal dan mempunyai bentuk tersendiri.

Dalam hati, sis tertanya-tanya, daun apa pula yang digunakan untuk membalut kuih ni? Entah macam mana, boleh pula sis terfikir itu daun getah!

Hahaha... nasib baik tak terus buat andaian.

Rupa-rupanya, daun yang digunakan ialah daun rambai. Patutlah nampak agak berbeza daripada kuih-muih yang biasa sis jumpa.

Memang pengalaman pertama yang agak mencuit hati. Nampaknya, bukan semua benda yang kita tengok boleh terus kita teka dengan betul.


Apam Johol yang dibalut daun rambai
Inilah dia rupanya Apam Johol yang pertama kali sis cuba

Apa Istimewanya Apam Johol?

Apam Johol merupakan kuih tradisional yang cukup sinonim dengan Negeri Sembilan atau lebih mesra disebut Nogori oleh orang tempatan.

Nama Johol pula diambil daripada sebuah kawasan di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Jadi, memang ada kaitan rapat antara nama kuih ini dengan tempat asalnya.

Apa yang menjadikan Apam Johol cukup istimewa ialah penggunaan daun rambai sebagai pembalut ketika proses penyediaannya.

Adunan apam yang menggunakan bahan seperti tepung gandum, gula merah dan yis ini akan dibungkus dalam daun rambai sebelum dikukus sehingga masak.

Daun rambai bukan sekadar berfungsi sebagai pembalut, malah memberikan identiti tersendiri kepada kuih tradisional ini. Gabungan adunan apam dan cara penyediaannya secara tradisional menjadikan Apam Johol berbeza daripada apam yang biasa kita temui.

Satu lagi perkara menarik, Apam Johol bukan hanya boleh dinikmati begitu sahaja. Di Negeri Sembilan, kuih ini juga sering dipadankan dengan lauk seperti rendang atau sambal tumis.

Nampaknya, orang Nogori memang kreatif bab makan. Kuih pun boleh dijadikan teman makan lauk!

Pengalaman Menjamah Apam Johol di Restoran Ghaso Pilah

Berbalik kepada cerita sis semalam, kawan-kawanlah yang memperkenalkan sis dengan kuih ini. Salah seorang daripada mereka membelikan Apam Johol untuk dicuba.

Jadi, sis pun ambillah dan jamah sedikit demi sedikit.

Bagi sis, pengalaman pertama mencuba sesuatu makanan tradisional memang menarik. Kadang-kadang kita tak tahu pun kewujudan sesuatu kuih itu sehinggalah ada orang memperkenalkannya.

Lebih-lebih lagi apabila dapat mengetahui sedikit sebanyak cerita di sebalik makanan tersebut.

Walaupun sis baru pertama kali melihat dan merasa Apam Johol, sekurang-kurangnya sekarang sis sudah kenal kuih tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat Negeri Sembilan ini.

Terima kasih kepada kawan sis yang sudi belanja dan memperkenalkan kuih ini. Kalau tidak, mungkin sampai sekarang sis masih tertanya-tanya daun apa yang digunakan untuk membungkusnya.
Kenali Kuih Tradisional, Jangan Sampai Pupus Ditelan Zaman

Sebenarnya, Malaysia memang kaya dengan pelbagai jenis kuih tradisional yang mempunyai keunikan tersendiri. Setiap negeri ada identiti makanan masing-masing, termasuk cara penyediaan, bahan yang digunakan dan cerita di sebalik namanya.


Daun rambai yang digunakan untuk membungkus kuih tradisional Apam Johol.
Ingatkan daun getah, rupanya daun rambai!


Apam Johol antara contoh kuih yang menarik untuk dikenali. Penggunaan daun rambai sebagai pembalut menjadikannya cukup unik dan mempunyai nilai tradisi yang tersendiri.

Kadang-kadang, makanan yang nampak sederhana inilah yang menyimpan cerita panjang tentang budaya dan warisan masyarakat kita.

Sis pun masih banyak lagi kuih tradisional yang belum pernah dicuba. Maklumlah, dunia kuih-muih Malaysia ni luas. Takkanlah semua sis dah kenal, kan?

Korang pula pernah makan Apam Johol? Atau korang pun baru pertama kali dengar nama kuih ini?

Jomlah kita sama-sama kenali dan hargai kuih tradisional warisan negeri-negeri di Malaysia. Mana tahu, satu hari nanti boleh pula sis jumpa kuih tradisional lain yang belum pernah dicuba.

Yang pasti, selepas ini kalau nampak daun pembalut kuih yang pelik-pelik, sis kena tanya dulu. Jangan dengan yakinnya terus cakap daun getah! Hahaha.