Dah lama rasanya tak keluar lunch santai-santai dengan kawan-kawan. Baru-baru ini, kami sepakat untuk makan tengah hari di sebuah restoran yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam iaitu Dapur Darling.

Sebenarnya, bukan pertama kali dengar nama restoran ni. Selalu juga nampak orang bercerita tentang Dapur Darling, jadi kali ini bolehlah kami singgah dan cuba sendiri menu yang ditawarkan.

Lunch bersama kawan-kawan di Dapur Darling, Shah Alam. Antara menu pilihan kami ialah Bihun Kari Udang, Nasi Goreng Petai, Kuey Teow Goreng dan Cucur Bawang

Sampai sahaja di restoran, hmmm.. okay juga suasananya. Menariknya, walaupun harga makanan di sini boleh tahan juga, nampaknya ramai pelanggan yang datang menjamu selera. Siap ada geng-geng pencen yang turut memenuhi restoran. Hahaha! Nampaknya bukan kami sahaja yang suka makan di sini.

Satu perkara yang kelakar, sepanjang lunch kali ni langsung tak ada gambar kami bertiga! Bukan tak nak ambil gambar bersama, tetapi masing-masing sibuk dengan makanan yang sampai ke meja. Hahaha! Sudahnya, gambar makanan sahajalah yang banyak dalam galeri telefon. Biasalah, kalau dah jumpa makanan menarik, memang itulah yang jadi keutamaan. Selfie kemudian pun tak jadi!


Bihun Kari Udang Dapur Darling Shah Alam, pilihan hidangan makan tengah hari yang menggantikan mee kepada bihun.
Mee Kari Udang yang sis minta tukarkan kepada bihun. Kuah karinya cukup rasa dan memang sedap! Harga RM19.90.


 Apa Yang Kami Makan Di Dapur Darling?

Bila tengok menu, macam-macam pilihan ada. Daripada masakan tempatan, hidangan Asia, Western sampailah ke menu fusion. Memang boleh rambang mata dibuatnya.

Akhirnya, kami masing-masing memilih menu yang berbeza.

Sis pilih Mee Kari Udang berharga RM19.90. Cuma, sis  minta tukarkan mee kepada bihun. Alhamdulillah, memang kena dengan selera. Kuah karinya cukup rasa dan sedap dinikmati. Pendek kata, puas hati dengan pilihan kali ini.

Dua orang kawan sis pula memilih Nasi Goreng Petai (RM24.90) dan Kuey Teow Goreng (RM21.90).

Sambil menunggu hidangan utama, kami turut memesan Cucur Bawang yang merupakan antara Darlings' Favourite. Harganya RM14.90.

Memang seronok kalau masing-masing pesan menu berbeza. Bolehlah tengok dan intai-intai apa yang kawan makan. Kalau nampak menarik, lain kali boleh cuba pula.

Buku menu Dapur Darling Shah Alam yang memaparkan pelbagai pilihan hidangan dan harga makanan
Antara pilihan menu yang ditawarkan di Dapur Darling. Banyak juga pilihan hidangan daripada masakan tempatan, Asia hinggalah Western. Tinggal pilih ikut selera dan bajet masing-masing!

Harga Makanan Di Dapur Darling

Kalau nak dibandingkan dengan kedai makan biasa, harga makanan di Dapur Darling memang boleh dikatakan agak mahal sedikit. Tambahan pula, harga yang tertera pada menu belum termasuk caj perkhidmatan 10%.

Tapi, tengoklah juga keadaan restoran. Ramai pelanggan datang makan, jadi nampaknya harga bukanlah penghalang untuk mereka menikmati hidangan di sini.

Apa-apa pun, sesekali makan di tempat begini bolehlah juga. Yang penting dapat luangkan masa bersama kawan-kawan, makan sedap-sedap dan bersembang panjang.

Satu perkara yang pasti, Mee Kari Udang dengan bihun tu memang antara pilihan yang sis suka. Kalau datang lagi, mungkin boleh cuba menu lain pula.

Restoran Dapur Darling berwarna hijau pucuk pisang  yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam
Singgah lunch bersama kawan-kawan di Dapur Darling,
restoran berwarna hijau  pucuk pisang yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam



Dapur Darling
6, Jalan Tengku Ampuan Zabedah K 9/K,
Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor.

Waktu operasi: Sabtu hingga Khamis, 11.00 pagi – 6.30 petang.
Tutup setiap hari Jumaat.