Bila usia semakin meningkat, ada satu perkara yang sis mula sedar. Kadang-kadang bukanlah sis jenis kuat makan sangat, tetapi rutin harian pula banyak dihabiskan dengan duduk. Hahaha!

Salah satu perkara yang mungkin menyumbang kepada perubahan bentuk badan ialah kurang bergerak. Maklumlah, kerja sis banyak menghadap laptop. Menulis artikel, menyemak bahan, membaca dan macam-macam lagi. Sedar-sedar, sudah berjam-jam duduk di kerusi.

Bila bangun, baru terasa badan macam lama sangat tidak bergerak. Nak bersenam pula, belum tentu rajin. Kalau bersenam pun, kadang-kadang sekejap sahaja. Peluh yang keluar pun macam malu-malu. 😂

Masalah lemak yang terkumpul di bahagian perut dan perubahan bentuk tubuh.
Lemak di bahagian perut antara perubahan tubuh yang boleh
membuatkan kitalebih peka terhadap kesihatan

Bila tengok bahagian perut di cermin, mulalah rasa frust. Lemak di situ macam semakin selesa duduk, langsung tak ada niat nak berpindah!

1. Terlalu Lama Duduk Di Depan Laptop

Inilah antara perkara yang sis sedang cuba perbaiki. Kerja sebagai writer/blogger memang banyak memerlukan masa di hadapan komputer.

Kadang-kadang duduk dari pagi, sambung lagi tengah hari dan tahu-tahu sudah masuk petang. Kalau terlalu fokus menyiapkan kerja, hendak bangun berjalan sekejap pun boleh terlupa.

Bukan tak ada kaki, tetapi kaki itu kurang diberi peluang untuk bekerja. Hahaha!

Apabila terlalu lama duduk, pergerakan harian kita menjadi terhad. Sebab itulah sis rasa perlu mula mengubah rutin, bukan hanya fikir tentang makanan yang masuk ke dalam perut.

2. Bukan Makan Banyak, Tetapi Pemakanan Pun Kena Jaga

Sis bukanlah setiap masa makan dalam kuantiti yang banyak. Tetapi kalau difikirkan semula, makanan seperti roti, burger dan nasi memang antara yang biasa ada dalam menu harian.

Kadang-kadang makan roti, kadang-kadang teringin burger. Nasi pula memang susah hendak dipisahkan daripada menu harian kita.

Sebenarnya, bukan bermakna kita perlu berhenti makan nasi, roti atau burger terus. Cuma kena lebih peka dengan jumlah yang diambil, kekerapan makan dan pilihan makanan yang lebih seimbang.

Sis pun masih belajar bab ini. Nak kata sudah pandai kawal pemakanan sepenuhnya, belum lagi. Ada masa berjaya kawal, ada masa tengok makanan sedap terus lupa segala perancangan. Hahaha!

3. Senaman Ada, Tetapi Belum Cukup Aktif

Kalau korang masih ingat cerita sis dalam artikel sebelum ini, sis ada berkongsi tentang steper yang ada di rumah.

Alat itu memang ada. Cuma hubungan sis dengan steper itu kadang-kadang agak renggang. Bila rajin, digunakan. Bila malas, masing-masing buat hal sendiri. Hahaha!


anita mengukur lilitan pinggang menggunakan pita pengukur untuk memantau perubahan ukuran perut
Memantau ukuran pinggang boleh membantu kita melihat perubahan
bentuk tubuh dari semasa ke semasa


Sis sedar aktiviti fizikal bukan sekadar bersenam sekali-sekala. Pergerakan sepanjang hari juga penting.

Sebab itu sis sedang cuba membiasakan diri untuk bangun dari kerusi, berjalan sekejap, melakukan regangan ringan dan tidak terlalu lama duduk tanpa bergerak.

Untuk senaman pula, sis perlu mula mengikut kemampuan sendiri. Tak semestinya terus buat senaman berat sampai tercungap-cungap. Mulakan sedikit demi sedikit pun sudah baik.



4. Lemak Di Perut Memang Boleh Buat Frust!

Antara perkara yang paling sis perasan ialah bahagian perut. Bila tengok cermin, rasa macam bahagian lain boleh berbincang lagi, tetapi perut ini pula yang paling mencuri perhatian. Hahaha!

Apabila usia meningkat, perubahan hormon, perubahan komposisi badan, pengurangan jisim otot dan gaya hidup juga boleh mempengaruhi bagaimana lemak terkumpul dalam tubuh.

Sebab itu, menjaga kesihatan bukan hanya tentang mahu melihat angka penimbang turun. Kita juga perlu memberi perhatian kepada pemakanan, aktiviti fizikal, tidur dan rutin harian.

Sis tahu, lemak di bahagian perut bukan sesuatu yang boleh hilang dalam masa sehari dua. Jadi, daripada terlalu stres melihat perut sendiri setiap kali lalu depan cermin, lebih baik sis cuba perbaiki apa yang masih boleh diubah.

5. Kena Belajar Lebih Banyak Bergerak

Bila difikirkan semula, mungkin ada banyak perkara kecil yang sis boleh lakukan setiap hari.

Antaranya:
  • Bangun dan berjalan sekejap selepas duduk lama menghadap laptop.
  • Lakukan regangan ringan ketika berehat daripada kerja.
  • Kurangkan tabiat duduk terlalu lama tanpa bergerak.
  • Cuba luangkan masa untuk berjalan kaki atau melakukan senaman ringan.
  • Lebih peka dengan pilihan makanan dan saiz hidangan.

Nampak macam perkara mudah, tetapi hendak membiasakannya itulah yang mencabar. Kadang-kadang kita tahu apa yang patut dibuat, tetapi nak mula itu yang banyak alasannya. Betul tak?

Masih Belajar Mengubah Rutin Harian

Dalam perjalanan My Healthy Journey ini, sis semakin sedar bahawa menjaga berat badan bukan hanya tentang mengurangkan makan.

Cara kita menjalani kehidupan seharian juga memainkan peranan. Kalau terlalu banyak duduk, kurang bergerak dan tidak menjaga pemakanan, memang ada perkara yang perlu kita perbaiki.

Sis sendiri masih dalam proses. Belum ada perubahan besar yang boleh dibanggakan, tetapi sekurang-kurangnya sis mula nampak beberapa tabiat yang perlu diubah.

Lepas ini, kalau sedang leka menghadap laptop, kenalah ingat untuk bangun dan gerakkan badan. Jangan sampai kerusi lebih kenal kita daripada orang lain. Hahaha!

Apa pun, sis nak teruskan usaha ini perlahan-lahan. Tak perlu terlalu memaksa diri, tetapi jangan juga terlalu selesa dengan rutin lama.

My Healthy Journey masih panjang. Yang penting, sis terus belajar, mencuba dan tidak mudah mengalah. ❤️