Makan ketika stress. Pernah tak korang perasan, cara kita bertindak apabila stress boleh berubah mengikut keadaan? Dulu, kalau sis tengah banyak fikir atau berdepan masalah, memang terus hilang selera makan. Nasi depan mata pun boleh tak terusik. Rasa macam tekak tertutup, nak makan apa pun tak lalu.

Tapi sekarang lain pula ceritanya. Bila stress, mulalah rasa nak mengunyah. Hahaha! 😂


Keropok sebagai snek yang sering menjadi pilihan ketika terasa ingin mengunyah.
Bila stres, tangan mula mencari keropok. Sekejap sahaja, licin satu bekas! Hahaha! 😂


Inilah antara perkara yang sis sedang cuba kawal dalam perjalanan My Healthy Journey. Kadang-kadang bukan sebab lapar sangat pun, tetapi mulut macam mencari sesuatu untuk dikunyah. Kalau ada coklat, keropok atau makanan ringan di depan mata, memang mudah sangat tangan ni mencapai.

Nampaknya, makan ketika stress sudah menjadi satu lagi perkara yang sis kena beri perhatian.

Bila Stress, Tidur Pun Tak Lena

Satu lagi perkara yang sis perasan, apabila fikiran tengah serabut, tidur pun boleh terganggu. Badan dah penat, mata pula susah nak lelap. Macam-macam perkara bermain dalam kepala. Nak pejam mata pun rasa macam otak masih belum habis bekerja.

Akhirnya, sis berjaga lebih lama daripada biasa.

Bila dah tak boleh tidur, sambil-sambil buat kerja di depan laptop, mulalah terasa nak makan sesuatu. Kononnya nak siapkan kerja, tetapi tangan sesekali mencapai makanan.

Ada keropok, makan keropok. Nampak coklat, ambil coklat. Kalau ada biskut atau snek lain, itu pun boleh jadi pilihan. Hmmm... bahaya juga perangai macam ni!

Kadang-kadang kerja belum siap, tetapi bekas snek dah hampir kosong. Hahaha! 😂

Coklat Memang Susah Nak Ditolak!

Kalau tanya sis, antara makanan yang paling mudah menggoda ketika stress ialah coklat.

Tak kisahlah coklat bar, coklat kecil atau apa-apa jenis coklat yang ada di rumah. Bila rasa nak makan, memang terbayang-bayang. Mula-mula cakap nak makan sedikit sahaja. Sekali, selepas beberapa ketika, tangan pergi ambil lagi.

Keropok pun sama. Bila tengah menghadap kerja atau berjaga malam, bunyi rangup ketika mengunyah itu macam menjadi teman pula.

Masalahnya, kalau kita kerap makan bukan kerana lapar tetapi disebabkan emosi atau sekadar mahu mengunyah, jumlah makanan yang diambil boleh bertambah tanpa kita sedar.

Lebih-lebih lagi apabila berjaga sampai lewat malam. Waktu yang sepatutnya digunakan untuk berehat, bertukar menjadi sesi mengunyah pula. Aduhai!


Aneka hidangan makanan yang boleh menggoda selera ketika berdepan tekanan.
Kadang-kadang bukan lapar pun, cuma mulut terasa nak mengunyah sesuatu

Makan Sebab Lapar atau Sebab Stress?

Sebenarnya, sis kena mula belajar membezakan antara rasa lapar yang sebenar dengan keinginan untuk makan kerana emosi.

Ada masanya perut memang lapar dan tubuh perlukan makanan. Tetapi ada juga ketika kita rasa nak makan kerana bosan, stress, penat atau sekadar mahu mengunyah sesuatu.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan emotional eating iaitu kecenderungan mengambil makanan sebagai tindak balas terhadap emosi tertentu.

Bukan semua orang mengalaminya dengan cara yang sama. Ada yang hilang selera apabila stress, ada pula yang semakin kuat keinginan untuk makan.

Sis rasa, sekarang ini sis lebih mudah tergolong dalam kumpulan kedua. Dulu tak lalu makan, sekarang mulut pula sibuk mencari makanan. Hahaha!

Apa Yang Sis Cuba Buat Untuk Kawal Tabiat Ini?

Sis sedar, kalau dibiarkan, tabiat makan ketika stress dan berjaga malam ini boleh menyukarkan usaha menjaga pemakanan. Jadi, ada beberapa perkara yang sis cuba perbaiki sedikit demi sedikit.

1. Kenal pasti sama ada betul-betul lapar

Sebelum mencapai makanan, sis cuba tanya diri sendiri sama ada perut memang lapar atau sekadar teringin nak mengunyah. Nampak mudah, tetapi bukan senang juga nak buat apabila coklat sudah berada di depan mata!

2. Jangan letakkan snek terlalu dekat

Kalau keropok dan coklat sentiasa ada di sebelah laptop, memang mudahlah tangan bekerja lebih masa. Jadi, sis kena cuba jauhkan makanan ringan daripada tempat bekerja supaya tidak terlalu mudah dicapai.

3. Sediakan air kosong

Kadang-kadang apabila terasa nak mengunyah, sis cuba minum air kosong dahulu. Sekurang-kurangnya ia membantu sis berhenti seketika dan fikir sama ada benar-benar lapar atau sekadar mengikut keinginan.

4. Cuba jaga waktu tidur

Sis juga perlu beri perhatian kepada waktu tidur. Kalau boleh siapkan kerja mengikut masa yang sesuai dan elakkan berjaga terlalu lama tanpa keperluan. Rehat yang mencukupi penting untuk kesihatan termasuk membantu kita menguruskan selera makan dengan lebih baik.

5. Jangan terlalu menyekat diri

Sis bukan nak terus mengharamkan coklat atau keropok daripada hidup sis. Hahaha! Cuma kena belajar mengawal kuantiti dan kekerapan. Kalau teringin, ambillah dalam jumlah yang sederhana dan jangan jadikan makanan sebagai satu-satunya cara untuk melegakan stress.

Kalau stress dan masalah tidur pula berlarutan sehingga mengganggu kehidupan seharian, elok juga dapatkan nasihat doktor.


Hidangan makanan yang menyelerakan dengan pelbagai lauk dan pilihan menu.
Niat nak kawal makan, tetapi mata tengok makanan memang susah nak tolak! 


Sis Kena Belajar Kawal Diri!

Bila fikir semula, perjalanan menjaga kesihatan ini memang banyak cabarannya. Ada masa kita perlu kawal makanan manis, ada masa kena jaga saiz hidangan dan sekarang sis perlu belajar pula mengawal keinginan untuk makan apabila stress.

Paling mencabar apabila stress datang bersama masalah tidur. Bila tak boleh tidur, buat kerja pula. Bila buat kerja mulalah rasa nak mengunyah. Akhirnya keropok dan coklat menjadi peneman sampai lewat malam.

Kalau ikutkan hati memang macam-macam nak dimakan. Tetapi sis tahu, kalau betul-betul nak jaga kesihatan, tabiat ini perlu diubah sedikit demi sedikit.

Sis masih belajar mengenali diri sendiri. Bukan setiap hari berjaya mengawal keinginan makan tetapi sekurang-kurangnya sis semakin sedar tentang perkara yang perlu diperbaiki.

My Healthy Journey masih diteruskan. Kali ini, bukan setakat nak kawal apa yang masuk ke dalam mulut, tetapi kena belajar mengawal emosi, menjaga waktu tidur dan mengurangkan tabiat mengunyah tanpa sebab.

Doakan sis berjaya ya! Semoga lepas ini bukan keropok dan coklat sahaja yang setia menemani sis ketika berjaga malam. Hahaha! ❤️