Jika korang ingin menyediakan hidangan ikan yang mudah, cepat, namun cukup menggamit selera, cubalah Resepi Ikan Singgang. Hidangan ini terkenal dengan kesederhanaan penyediaan, tetapi tetap nikmat dengan rasa yang menyelerakan. Lebih-lebih lagi  bila menghirup kuahnya yang sedap!



Resepi Ikan Singgang - Sajian Tradisional yang Ringkas, Cepat & Menyelerakan!

Ikan singgang merupakan salah satu menu tradisional yang paling mudah dimasak. Dengan bahan-bahan asas yang ringkas, ia menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menyediakan hidangan sihat dan berkhasiat. Sesuai juga untuk ibu-ibu dalam pantang kerana ia kaya dengan rasa tanpa terlalu banyak rempah yang panas.

 

Kenangan Bersama Ikan Singgang

Sejak kecil lagi, hidangan ikan singgang menjadi antara kegemaran arwah emak sis, Ketika arwah emak tinggal bersama sis, memang kerap menyediakan menu kegemarannya ini.Masak ikan singgang yang emak gemari, kini menjadi kenangan indah setiapkali mahu menyediakannya.


Bahan-Bahan Resepi Ikan Singgang


Resepi Ikan Singgang
Pastikan kita pilih ikan yang segar ya. Barulah sedap



Untuk resepi ini, ikan yang biasa digunakan ialah ikan tongkol, kembung, pelaling atau tenggiri. Ikan tenggiri merupakan pilihan sis kerana kurang bertulang, memudahkan untuk disediakan kepada keluarga. 


Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan: 

  • 4 potong ikan tenggiri segar (boleh juga guna ikan tongkol, kembung atau pelaling)
  • 4 biji cili padi (diketuk)
  • 4 biji bawang besar (dipotong empat)
  • 3 ulas bawang putih (diketuk)
  • Halia 3cm (diracik)
  • Kunyit hidup 3cm (dikisar halus atau guna serbuk kunyit)
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 5 keping asam gelugur atau asam keping
  • 1 biji tomato (dibelah empat)
  • Penyedap rasa secukupnya
  • 1 sudu kecil serbuk lada sulah
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya

Cuba Juga:
Resepi Nona Manis Paling Sedap


Cara Penyediaan

1. Sediakan ikan

Bersihkan ikan tenggiri dengan perahan air limau untuk menghilangkan bau hanyir. Toskan dan lumurkan dengan sedikit garam serta serbuk kunyit. Ketepikan.

2. Rebus bahan-bahan

Masukkan air ke dalam periuk. Kemudian tambahkan bawang besar, bawang putih, halia, serai, cili padi, asam keping, serta kunyit yang telah dikisar halus. Biarkan mendidih.

3. Masukkan ikan

Setelah air mendidih, kecilkan api dan masukkan ikan. Biarkan kuah mendidih perlahan-lahan dan kacau perlahan supaya semua bahan menyerap ke dalam ikan.

4. Perasakan kuah

 Masukkan garam, penyedap rasa, dan serbuk lada sulah. Kacau hingga semuanya sebati. Setelah ikan masak, tutup api.


5. Hidang

Angkat dan hidangkan ikan singgang ini bersama nasi panas. Kuah singgang yang masam-masam pedas ini pasti membangkitkan selera.



Resepi Ikan Singgang

Arwah mak  sis suka bahagian kepala tenggiri, so tang kepala ni spesial lah untuknya!




Tips Tambahan

  • Untuk rasa yang lebih pekat, boleh tambahkan sedikit daun kunyit.
  • Boleh juga boleh letak bendi sebagai tambahan untuk sayur.


Nikmati Resepi Ikan Singgang yang Sihat dan Menyelerakan. Resepi ini bukan sahaja sedap, malah sesuai untuk mereka yang mencari hidangan rendah kalori dan kaya dengan nutrisi.

Dengan perpaduan kunyit, asam dan serai, hidangan ini pasti memikat selera sesiapa sahaja. Selamat mencuba dan jangan lupa berkongsi pengalaman anda dengan sis ya!