Dalam dunia sekarang, isu penceraian makin menjadi-jadi. Tak kira betapa sempurna pasangan itu kelihatan di mata orang ramai, masalah rumahtangga tetap boleh berlaku.

Ramai yang anggap kecantikan, kekayaan dan gaya hidup mewah adalah kunci kebahagiaan.Tapi, realitinya, cantik bukan jaminan bahagia. Sis ada kawan kepada kawan yang mengalami perkara ini. Wanita ini sering jadi buah mulut ramai sebab rupa parasnya yang menawan dan kehidupan yang nampak sempurna.

Dari luaran, dia ada segalanya – suami yang kacak, anak perempuan yang comel, rumah besar dan kerjaya suami yang berjaya sebagai juruterbang. Tapi, di sebalik semua ini, ada kisah yang orang tak tahu.


cantik bukan jaminan bahagia
sekadar gambar hiasan

Kehidupan Luar Nampak Sempurna

Sis ingat lagi masa mula-mula mengenalinya, memang rasa kagum dengan kehidupan dia. Dari luar, dia macam hidup dalam dunia impian.Bayangkan, suami juruterbang, anak comel, percutian mewah ke luar negara, gaya hidup yang memang nampak glamor di Instagram. Orang ramai tak putus-putus puji kecantikan dan kebahagiaan dia.

Tapi itulah, di sebalik senyuman dan gambar-gambar cantik yang dia kongsikan, hanya dia yang tahu apa yang sebenarnya berlaku. Walaupun dia kelihatan sempurna, hidupnya tak sebahagia yang disangka. Malah, kebahagiaan yang dulu mereka kecapi kini semakin pudar.

Cabaran di Sebalik Wajah Cantik

Kehidupan rumahtangga dia makin lama makin berantakan. Suaminya yang sering outstation sebab kerja sebagai juruterbang jarang ada di rumah. Walaupun nampak macam suami dia buat yang terbaik untuk keluarga, dia semakin rasa terpinggir dan kesepian.

Sebelum ni, dia pernah bekerja di awan biru. Dia rindu kehidupan lamanya, terbang bebas dan ada kerjaya sendiri. Tapi, selepas beranak, dia berhenti kerja dan jadi suri rumah sepenuh masa. Kini, dia mula terfikir untuk kembali bekerja, nak rasa semula kebebasan yang pernah dia nikmatinya dulu.

Bila dia luahkan hasrat ni kepada suaminya, suami dia tak setuju. Katanya, siapa nak jaga anak mereka kalau dia pun selalu terbang? Dari situlah jurang antara mereka makin melebar menyebabkan dia rasa macam hidup dia tak ada arah tuju.

Masalah Bukan Kewangan, Tapi Hati

Sis rasa ini yang paling menyedihkan. Hidup mereka bukan ada masalah kewangan- duit tak pernah jadi isu. Suami dia mampu sediakan semua yang diperlukan - rumah besar, kereta mewah, pakaian cantik, apa sahaja yang dia mahu. Tapi masalah sebenar mereka adalah masalah hati!

Dia sebenarnya sering berasa kesepian, walaupun dikelilingi kemewahan. Dia rasa sunyi, terperangkap dalam hidup yang nampak sempurna di mata orang lain tapi kosong di hatinya.Setiapkali dia tengok cermin, dia sedar kecantikan yang dimiliki tak mampu mengisi kekosongan dalam diri. Apa gunanya semua ini kalau hati tak bahagia?

Betul Kan, Cantik Bukan Jaminan Bahagia?

Kisah ini jelas menunjukkan bahawa cantik bukan jaminan bahagia. Walaupun orang luar melihat hidupnya penuh glamor dan bahagia, hakikatnya, hubungan mereka penuh cabaran. Tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya berlaku di sebalik pintu rumah mereka.

Kecantikan luaran dan kekayaan material tak mampu gantikan keperluan emosi dan kasih sayang yang tulus. Walaupun semua orang memuji dan mengagumi, di dalam hatinya, ada kekosongan yang hanya dia sendiri fahami.

Baca Juga:

Masak Itu Terapi Cinta
The Straight Path Convention 

Kunci Kebahagiaan Sebenar


cantik bukan jaminan bahagia


Jadi, kalau korang ingat kecantikan dan kehidupan mewah adalah kunci kebahagiaan, fikir balik. Kebahagiaan sebenar datang dari hubungan yang sihat, komunikasi yang terbuka dan kasih sayang yang tulus. Sebagai suami isteri, penting untuk ada ilmu agama dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Dalam Islam, kita diajar bahawa sakinah, ketenangan dalam perkahwinan hanya boleh dicapai bila kedua-dua pasangan saling memahami dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bila kita letak agama sebagai asas, InsyaAllah, hubungan itu akan lebih kukuh.

Jangan mudah tertipu dengan apa yang kita lihat di media sosial sebab setiap orang ada ujian dan cabaran mereka sendiri. Kalau korang cari kebahagiaan yang sebenar, ingatlah, kecantikan luaran hanya sementara. Hati yang penuh kasih sayang dan keimanan itulah kunci kepada kebahagiaan yang sejati!