Setiap kali termenung di sudut rumah, aku sering membayangkan satu ruang yang sederhana, tetapi sarat dengan ketenangan. Rumah kecil, tetapi penuh dengan jiwa yang tenang!

Rumah Idaman Hati

rumah



Setiap sudutnya seolah-olah berbicara dengan bisikan ketenangan dan kebahagiaan. Inilah rumah idaman hati!Rumah kecil untuk jiwa yang tenang, tempat segala keresahan dunia diredakan oleh keindahan alam dan rekaan yang serba sederhana.

Selalu membayangkan, kediaman townhouse yang suatu hari nanti ini akan ubah menjadi rumah impian. Dari luar, rumah ini nampak seperti biasa, tetapi bila melangkah masuk, suasana berubah.

Baca Juga:

Pokok Bunga Hiasan Dalam Rumah Berikan Ketenangan

Petua Halau Lipas Di Rumah & Kereta

Terapi Jiwa

rumah


Ruang tamu terbuka luas, menghadap pemandangan hijau yang mendamaikan di luar. Setiap pagi, cahaya matahari menari masuk melalui jendela besar, menyapa lantai kayu yang hangat.

Ruang tamu itu menjadi saksi saat-saat aku duduk di sofa kesayangan dengan secawan kopi di tangan, mencipta kandungan sebagai ‘content writer’ sambil menikmati suasana luar yang begitu mendamaikan.

Di garaj, ada taman kecil yang menghijau, tempat aku tanam bunga-bunga dan herba yang memeriahkan ruang. Sesekali, aku duduk di situ, hanya untuk menikmati aroma segar yang dihembuskan oleh angin petang. Taman kecil ini bukan sekadar hiasan, tetapi terapi jiwa yang sering kali melepaskan beban harian.

Balkoni bilik tidur pula menjadi tempat kedua yang aku cintai. Di situ, ada beberapa pokok hijau yang tumbuh subur.

Setiap kali aku perlu lari seketika dari dunia, aku hanya perlu duduk di balkoni itu, menikmati keindahan langit yang terbentang, sambil bernafas dalam-dalam.

Ruang Dapur Yang Cukup Mendamaikan


ruang dapur



Dan dapur! Ah, dapur idaman yang luas, dihiasi dengan ‘kitchen island’ yang bergaya industri moden. Di sinilah tempat segala eksperimen masakan terjadi. Jendela besar yang terbuka luas memberikan pemandangan luar yang dipenuhi pokok-pokok rimbun.

Setiap kali memasak, aku seolah-olah berdiri di tengah-tengah hutan kecil, ditemani kicauan burung dan bunyi daun yang bergeseran. Dapur ini bukan sekadar tempat memasak, tetapi juga ruang untuk mencipta dan merasai kebahagiaan.

Mimpi Kecil Menjadi Nyata

rumah


Inilah impian kecilku, sebuah rumah kecil yang penuh dengan ketenangan, bersama insan-insan tersayang yang melengkapkan kebahagiaan. Mungkin buat masa ini, ia hanya sekadar mimpi yang berlegar di ruang fikiran, namun setiap impian bermula dengan angan-angan.

Dan memandangkan angan-angan itu percuma, biarkan ia terbang setinggi langit, seluas cita-cita kita. Siapa tahu, mungkin satu hari nanti, mimpi kecil ini akan menjadi nyata, menjadi tempat berlindung dari hiruk-pikuk dunia.

Tiada yang salah dalam berangan, kerana dari angan-angan inilah kita melangkah lebih dekat ke arah realiti. Barangkali, rumah kecil untuk jiwa yang tenang ini sudah menanti untuk diwujudkan. Insya-Allah!